Latar belakang Kapak

Contoh-contoh terawal kapak diperbuat menggunakan kepingan batu dengan pemegang yang dibuat daripada kayu (Bahasa Inggeris : hafted) menggunakan satu kaedah yang disesuaikan dengan bahan yang digunakan dan juga dengan kegunaan akhir kapak yang dibuat. Dengan kemajuan yang dicapai oleh tamadun manusia, kepala-kepala kapak dihasilkan menggunakan kuprum, tembaga, besi dan akhirnya keluli. Dengan kemajuan ini, kepala kapak menjadi lebih baik dan kekal tajam untuk jangka masa yang lama.

Kapak adalah satu bentuk mesin mudah – ia menggunakan baji (wedge) yang mempunyai dua satah condong. Susunan condong ini menggunakan tenaga atau daya yang perlu digunakan untuk membelah atau memotong kayu, kerana kepala kapak akan memaksa kayu tersebut terbelah disebabkan oleh tekanan yang dikenakan oleh mata satah kapak tadi.

Kebanyakan kapak moden mempunyai kepala kapak diperbuat daripada keluli dengan pemegang yang diperbuat daripada kayu, walaupun terdapat pemegang yang diperbuat daripada plastik ataupun gentian kaca. Kapak moden dibuat khusus untuk penggunaan tertentu. Kapak dengan pemegang pendek digunakan dengan sebelah tangan sahaja, dan dipanggil sebagai kapak tangan. Kapak kecil (hatchet) kadang kala mempunyai pemegang pendek dengan kepala tukul di satu belah kepala.

Pada permulaannya, kepala kapak dibuat menggunakan kepingan batu yang ditajamkan. Mungkin kapak pada masa itu tidak mempunyai pemegang. Kapak yang siap dengan pemegangnya mungkin mula digunakan pada Zaman Mesolitik (kira-kira 6000 SM). Kapak yang dibuat menggunakan tanduk rusa terus digunakan semasa Zaman Neolitik. Perkakas memotong dibuat daripada serpihan batu (flint) dan dipasangkan pemegang dan dijadikan sebagai beliung. Kapak yang dibuat daripada batu yang diasah digunakan semenjak Zaman Neolitik lagi dan digunakan untuk menebang pokok dan kerja-kerja perkayuan. Pada akhir Zaman Neolitik, (tamadun Michelsberg, Cortaillod), kapak-kapak dengan mata yang mempunyai bentuk segi empat menjadi lazim.

Pada akhir Zaman Neolitik (tamadun Pfyn-Altheim), kapak dibuat daripada kuprum ataupun campuran kuprum dan arsenik. Kapak tembaga dijumpai pada awal Zaman Tembaga.